UMTAS – Behind the scene.

UMTAS – Behind the scene.

- in Behind The Scene, Latest, UMF
1186
1

Ramai yang bertanya tentang UMTAS, mohon maaf kerana mengambil sedikit masa untuk mencoretkan semuanya di blog ini. Kami mohon doa Allah pelihara niat kami, dan kami mohon Tuan Puan yang membaca nukilan ini mendoakan yang sama juga.

Perkenalanan dengan Abang Syamsul dan Kak Mai

Imbas kembali, tahun 2007 tahun perkahwinan saya dengan isteri. Kami hidup berjauhan, isteri di Kuala Lumpur dan saya pula di Segamat. Allah SWT gerakkan hati untuk menyewa di Apartment Jasmin di Sri Rampai. Bila menulis ini, dapat saya rasakan caturan Allah SWT sangat baik. Di sinilah kami berkenalan dengan sebuah keluarga, cukup saya kenalkan sebagai keluarga Abang Syamsul dan Kak Mai.

Awalnya tidaklah kami perasan keluarga Abang Syamsul dan Kak Mai ini. Mungkin sebab saya jarang di rumah, dan kalau berada di rumah pun, bukan selalu keluar. Namun tahun 2008 barulah kami selalu bertegur sapa. Kadangkala terserempak di lift, kadangkala terserempak di surau. Rupanya satu blok, cuma berlainan tingkat.

Entah mengapa, saya dan isteri sentiasa merasa selesa apabila bertemu mereka. Beza umur kami dengan mereka kira-kira 20 tahun rasanya. Kadangkala rasa seperti kakak dan abang, kadangkala terasa seperti ibu dan ayah.

Abang Syamsul ini tenang orangnya, certified kaunselor dan seorang pengamal perubatan homopati. Beliau juga aktif dengan NGO. Bencana di Padang, Indonesia beliau ke sana mewakili NGO Malaysia dan banjir di Kelantan juga dihantar untuk memberikan kaunseling kepada mangsa banjir. Beliau juga bertugas sebagai tele-kaunselor awam, tempat remaja atau individu bermasalah menelefon, untuk mendapat bantuan kaunseling secara percuma.

Kak Mai pula banyak sifat keibuan. Senang bercerita dan banyak memberi nasihat. Tatkala kami baru berumah tangga, masih muda, banyaklah nasihat yang kami terima. Semuanya baik-baik, memang kami merasakan Allah SWT menemukan kami kepada mereka untuk sentiasa dinasihati.

 

Anak Huffaz

Mempunyai anak huffaz adalah cita-cita paling tinggi bagi mana-mana ibu bapa.

Mereka dikurniakan 5 orang cahayamata. 2 lelaki dan 3 perempuan. Disinilah keunikan keluarga ini, di mana mereka menghantar anak-anak mereka ke sekolah pondok dan sekolah tahfiz. Tatkala majoriti keluarga lain menghantar anak untuk menjadi doktor, jurutera, arkitek, bisnesman atau apa-apa sahaja, mereka memilih jalan yang berbeza. Pernah mereka bercerita yang ramai yang membantah keputusan mereka. Yalah, Hafiz? Besar nanti nak jadi apa? Ustaz? Macam mana nak cari kerja? Boleh bayangkan keputusan mereka buat 10-15 tahun lepas. Pada waktu itu, lagilah tidak nampak apa yang boleh dibuat kalau jadi hafiz Al-Quran. Kala itu mana ada Akademi Al-Quran, pondok tahfiz moden dan sebagainya.

Bukan mudah sebenarnya, selain daripada padangan serong masyarakat mahupun ahli keluarga, keadaan dan system sekolah tahfiz juga tidak membantu. Banyak sekolah tahfiz di Malaysia ini, namun cabaran biasa ialah sekolah tidak teratur dan tidak ditadbir dengan baik. Mereka telah menghantar anak mereka ke berpuluh sekolah, sekejap hantar tidak sesuai, tukar lagi, cuba lagi, masalah pengurusan, tukar lagi. Sampai berpuluh-puluh jumlah sekolahnya. Boleh bayangkan berapa jumlah wang diperlukan untuk keluar masuk sekolah, hanya untuk mencari sekolah yang terbaik. Apa masalah sekolah-sekolah ini? Ada yang tidak cukup dana, jadi ustaznya terpaksa berkerja di luar untuk cari dana tambahan. Bila ustaz sibuk berkerja, timbul masalah anak didik tidak cukup perhatian kerana kekurangan tenaga kerja yang fokus. Ada juga yang teknik pengajarannya kurang sesuai dengan hasrat yang ingin dicapai.

Lebih parah lagi, kebanyakan anak-anak yang dihantar ke sekolah tahfiz adalah anak-anak yang tidak mahu belajar di sekolah biasa. Ibu bapa tiada pilihan, jadi menghantar anak ke sekolah tahfiz. Kesannya? Kumpulan pelajar adalah pelajar yang bermasalah, tidak minat belajar dan hanya bermain. Suasana pembelajaran menjadi tidak kondusif dan akhirnya tidak sesuai untuk menjadi pusat tahfiz. Iyalah, zaman sekarang, kalau anak dapat 5A UPSR, mesti mahu masuk sekolah asrama penuh atau MRSM. Cita-cita? Doktor, peguam, engineer, atau bisnesman. Kalau ada niat pun mahu jadi hafiz/hafizah, mungkin bukan cita-cita utama. Allahulam. Inilah pemerhatian saya selama ini. Namun tidaklah semua begitu, ada juga yang anak-anak yang bagus, namun ianya adalah kumpulan minoriti. Hati kecil saya berharap, suatu hari nanti, yang dihantar ke sekolah tahfiz adalah semua anak-anak luar biasa pandai. Pasti seronok sekiranya ada sekolah tahfiz begitu!

 

Seronok Melihat Hafiz dan Hafizah

Kami pula entah mengapa rasa seronok melihat anak-anak huffaz ini. Saya dan isteri, kedua-dua kami bersekolah di asrama penuh. Saya di SDAR dan isteri di TKC. Masa keluar daripada sekolah dahulu, adalah juga perasaan dihati mahu masukkan anak-anak ke sekolah SDAR dan TKC. Lelaki ke SDAR, perempuan ke TKC. 2-2 di Negeri Sembilan, senang mahu hantar dan melawat. Kami pula kedua-duanya amat suka zaman persekolahan di sekolah ini. Berdasarkan pengalaman kami bersekolah 5 tahun di sana, sekolah ini memang terbaik.

Namun apabila sudah berumah tangga, priority kami sudah berubah. Pengalaman kami menjadi pelajar, subjek-subjek di sekolah dan universiti adalah mudah untuk skor A. Lihat sahaja sekarang ini, berapa ramai yang mendapat straight A’s SPM? Belajar dari tahun 1 sehingga tingkatan 5, habis 11 tahun belajar. Sebenarnya boleh disingkatkan sahaja kepada 5-7 tahun untuk mendapat straight A’s juga. 4-6 tahun telah dibazirkan sahaja. Zaman 90an mungkin “ok” untuk habiskan masa 11 tahun, berdasarkan teknologi dan maklumat yang ada pada masa tersebut, namun, tahun 2010 dan keatas, teknologi maklumat semakin berkembang dan mudah, 11 tahun adalah terlalu lama. Zaman sekarang semua maklumat di hujung jari. Pembelajaran sudah mudah. Mahu belajar online pun sudah ada sekarang. Masa pembelajaran boleh disingkatkan, tidak perlu 11 tahun untuk skor straight A’s untuk SPM. Maaf kiranya kita berbeza pendapat, ini hanya pandangan saya yang cetek pengalaman, tidak mempunyai anak yang sudah selesai persekolah rendah mahupun menengah. Namun sistem pendidikan sekolah dekat di hati saya kerana arwah ayah adalah seorang guru dan sekolah terakhir beliau adalah di SEMSAS manakala bonda adalah guru sains di SMART, Kuantan. (Kalau ada pelajar SEMSAS dan SMART boleh PM tepi, mana tahu anak-anak murid ayah bonda saya 🙂

Tahun 2009 kami mendapat cahayamata yang pertama dan kami sudah niatkan mahu menghantar ke sekolah tahfiz. Perancangan kami mahu berikan pendidikan Al-Quran secepat mungkin. Anak-anak kecil ini, Mengapa sewaktu kecil perlu hantar belajar Al-Quran? Tak bolehkah tunggu besar sedikit baru hantar? Saya teringat kuliah Ustaz Nouman Ali Khan yang saya dengar beberapa tahun lepas. Ianya berkisarkan kisah dari surah Maryam, Ayat 12.

“Wahai Yahya, terimalah Kitab itu (serta amalkanlah) dengan bersungguh-sungguh! Dan Kami berikan kepadanya Hikmat kebijaksanaan semasa ia masih kanak-kanak.

Dimana mengikut penerangan Ustaz Nouman Ali Khan, Allah SWT mengajarkan kitab (Taurat) kepada Nabi Yahya semenjak baginda kecil dan Allah SWT berikan hikmah “wisdom” kepada Nabi Yahya.

Mengikut penerangan Ustaz Nouman lagi, inilah yang perlu diberikan kepada anak-anak sekarang. Sejak kecil perlu diberikan Al-Quran, insyaAllah akan dimasukkan hikmah kebijaksanaan di dalam diri mereka. Kuliah ini disampaikan oleh Ustaz Nouman Ali Khan di Bayyinah.TV. Ini menguatkan lagi cita-cita kami untuk menjadikan anak-anak kami sebagai huffaz, InsyaAllah.

Subscribe ke Bayyinah TV, channel TV Taafsir Al-Quran paling comprehensive di dunia.

 

Seperti Orang Mengantuk di Sarungkan Bantal

Tahun demi tahun, anak semakin membesar. Anak sulung kami dihantar ke Puspeta, singkatan kepada (Pusat Pembelajaran Tahfiz). Mengapa Puspeta? Satu sebab khususnya adalah kerana di Puspeta ada modul hafazan Al-Quran. Dan melihat kepada result pelajar-pelajar lepas, ada yang menghafal Juzuk Amma (Juzuk 30) semasa bersekolah tadika di Puspeta.

Jadi kami menghantarkan anak sulung ke sana, dan anak kedua juga di sana. Alhamdulillah, sistem pembelajarannya berkesan dan berjaya. Tahun 2015 sebelum menamatkan sesi persekolahan 6 tahun, anak sulung telah berjaya menghabiskan hafazan Juzuk 30 dan sudah masuk ke surah Yaasin. Anak kedua juga sedang berjinak-jinak dan doakan dia juga berjaya menghabiskan juzuk 30 di sekolah Puspeta, insyaAllah.

Dalam masa anak bersekolah tadika di Puspeta, kami mencari-cari sekolah tahfiz untuk dihantar apabila umurnya meningkat kepada 7 tahun. Ada beberapa sekolah yang menjadi pilihan, namun ianya agak jauh dari rumah kami. Sekolah yang menjadi pilihan adalah sekolah yang modulnya 100% hafazan. Tujuannya adalah untuk pelajar dapat fokuskan kepada hafazan. InsyaAllah, matapelajaran lain seperti Matematik, English dan Sains akan dihantar bertusyen di mana-mana yang sesuai. Kami mula mencari sekolah-sekolah ini sejak tahun 2013.

Suatu hari kira-kira pada bulan Oktober 2014, Kak Mai dan Abang Syamsul menghubungi kami untuk bertemu. Rupa-rupanya mereka bercadang untuk membuka sekolah tahfiz. Wah, terkejut kami. Seperti orang yang mengantuk disarungkan bantal, kami terus bersetuju untuk membangunkannya bersama.

Kami pernah mengimpikan sekolah tahfiz moden, bersistematik, ada kolam renang, ada pembelajaran art & music, pembelajaran keusahawanan dan apa-apa lagi subjek yang menarik. Cita-citanya, sekolah ini menghasilkan huffaz yang berkaliber, boleh menyambung pelajaran ke luar Negara dalam bidang medic, accountancy, engineering atau apa sahaja. Mahu menghasilkan huffaz luar biasa.

Bermula bulan Oktober, Kak Mai dan Abang Syamsul memulakan usaha membangunkan sekolah. Kami pula mencari dana bagi pihak sekolah. Kami menghubungi ahli keluarga, saudara dan rakan taulan terdekat. Alhamdulillah dalam masa yang sekejap, lebih RM30K diterima dan dijadikan modal menyiapkan kelengkapan sekolah dan sebagai simpanan kos operasi bulanan sekolah. Sekolah ini diberikan nama UMTAS (Ummul Mu’minin Tahfiz School) dan memulakan operasi pada Januari 2015.

 

12 Bulan – Ulangtahun UMTAS

IMG-20160207-WA0029

12 bulan telah berlalu, UMTAS kini memasuki tahun kedua. Daripada 1 lot rumah kedai kepada 2 lot rumah kedai. Daripada 6 orang pelajar kepada 15 orang pelajar. Ada lagi 5-7 orang yang memohon untuk masuk, namun ianya masih dalam pertimbangan. Pelajar termuda berumur 8 tahun, dan telah Berjaya menghafal 5 Juzuk. Mengikut ceritanya, anak kecil ini menghafal sambil bermain sahaja. Alhamdulillah, Allah SWT permudahkannya untuk menghafal. Pelajar-pelajar lain juga Alhamdulillah dapat mengikuti sesi hafazan dengan baik.

Mengikut perancangan, sekolah ini menyasarkan tempoh hafazan diantara 3-5 tahun sahaja. Ini bermakna, dalam masa 3-5 tahun, pelajar perlu menghabiskan hafazan sebanyak 30 Juzuk. Pelajar juga digalakkan untuk membuat Syahadah. Selepas 5 tahun, pelajar perlu meneruskan pelajaran ke tempat lain, diantara sambung di sekolah biasa atau apa-apa sahaja perancangannya. Ianya bergantung kepada umur pelajar juga.

Januari 2016, bermulalah pengalaman baru kami menyekolahkan anak sulung di sekolah 100% tahfiz. Kami sedar, banyak cabaran yang akan mendatang apabila kami memilih jalan ini. Namun, insyaAllah doakan semoga Allah SWT permudahkan.

 

“Kitalah yang memilih untuk hidup biasa-biasa atau luar biasa”

 

 

About the author

1 Comment

  1. Salam.. di mana ya umtas ni? Macammana jika nk belajar di sana?

Comments are closed.

You may also like

10 Tips Sebelum Berhenti Makan Gaji

10 TIPS SEBELUM BERHENTI MAKAN GAJI Mahu berhenti